Pada suatu hari, ketika Nabi Yahya a.s. sedang bersendirian di padang pasir, baginda didatangi oleh seorang lelaki tua yang berjanggut panjang berwarna putih.
"Sejahtera ke atasmu wahai Nabi Allah," kata orang tua itu sambil tersenyum.
Nabi Yahya a.s. mengenali orang tua itu. Dia sebenarnya tidak lain dan tidak bukan adalah iblis. Apabila menyedari hakikat ini, Nabi Yahya a.s. menjawab kata-kata orang tua dengan nada yang agak keras, “wahai makhluk terkutuk! Apakah yang kau mahu?”
Iblis terkejut apabila mendengar kata-kata Nabi Yahya a.s. dan timbul persoalan bagaimana Nabi Yahya a.s. dapat mengenalinya walaupun dia datang dalam rupa bentuk manusia.
“bagaimanakah kau tahu siapa aku?” iblis bertanya.
“tidakkah kau tahu bahawa Allah S.W.T. melihat dan mendengar segala-galanya. Dialah yang mengingatkanku siapakah kau yang sebenarnya. Apa tujuanmu datang ke sini?”
“wahai Yahya, aku datang untuk cuba mengganggumu walaupun cuma untuk sesaat dan melalaikanmu daripada mengingati Allaah S.W.T.. kehangatan amal ibadahmu sungguh hebat hinggakan berupaya membakar mukaku dan menghindarkanku jauh daripadamu. Sudah banyak kali aku cuba menipumu tetapi aku dapati begitu sukar untuk menghampirimu. Setiap kali seorang anak cucu Adam bertaubat, kau bukan sahaja telah merosakkan segala kerjaku, malah pembohongan, penipuan dan tipu muslihat yang telah kurancang selama ini semuanya turut musnah. Aku merasakan segala usahaku itu sia-sia belaka.”
Kemudian Nabi Yahya a.s. bertanya lagi kepada Iblis, “Wahai Si Laknat, siapakah temanmu dan siapakah pula musuhmu?”
Iblis menjawab, “Wahai Yahya! Kalaulah bukan kau yang bertanya soalan itu, nescaya aku tidak akan menjawabnya. Sesungguhnya mereka yang beriman tetapi kejam dan kedekut itulah sahabatku. Manakala orang yang pemurah dan baik hati walaupun mereka itu kufur, mereka tetap menjadi musuhku.”
Nabi Yahya a.s. agak terkejut dengan jawapan itu lalu bertanya kepada iblis untuk mendapatkan penjelasan, “Wahai iblis! Bagaimanakah seorang yang beriman boleh menjadi temanmu dan seorang yang kufur pula menjadi musuhmu?”
Dengan lagak yang sombong iblis bersuara, “Wahai Yahya, ketahuilah! Aku berpeluang untuk menyesatkan iman seorang manusia yang beriman tetapi kedekut dan kejam. Aku akan memasukkan penyakit risau terhadap kekayaannya ke dalam pemikirannya. Lama-kelamaan sifat ini akan membuatkan ingatannya kepada Allah S.W.T. sedikit demi sedikit lenyap daripada mindanya dan kemudiannya hilang daripada hatinya. Selepas itu, akan ku isi minda dan hatinya dengan sifat tamak agar dia tidak lagi bersikap puas hati dengan apa yang dia ada.”
“akhirnya, dia akan melakukan apa sahaja untuk menjadi lebih kaya sehinggakan tiada lagi sebarang perbuatan terlarang yang tidak dilakukannya semata-mata untuk menambahkan kekayaannya. Aku akan mendorongnya supaya melakukan dosa yang lebih besar dan akhirnya dia sendiri akan terjerumus ke dalam api neraka.”
“sebaliknya, orang kufur yang pemurah adalah musuhku kerana biarpun dia kufur, tetapi dia masih memiliki sifat yang terpuji iaitu sifat bermurah hati. Sifat baik yang dimilikinya ini sudah memadai untuk membuatkan dia percaya bahawa setiap kali dia menghalalkan hutang seseorang atau menolong orang lain tanpa mengharapkan apa-apa belasan, perbuatannya itu akan diperhatikan oleh Allaah S.W.T.. akhirnya suatu hari nanti, Allaah S.W.T. akan mengampuni dosanya dan membuka pintu keimanan untuknya,
Sebenarnya sifat kedekut yang dimiliki oleh orang yang beriman sudah memadai untuk membuatkan dirinya menjadi milikku. Sedangkan kemurahan hati orang yang kufur akan membuatkan aku takut bahawa suatu hari nanti dia akan bertaubat daripada dosanya. Lalu Allah akan menerima taubatnya dan menjadikannya sebagai teman-Nya.”
Sebaik sahaja mengucapkan kata-kata tersebut, iblis terus lenyap daripada pandangan Nabi Yahya a.s..
“segala pujian bagi Allah,” teriak Nabi Yahya a.s. “Dia mengajar hamba-Nya dengan cara yang cukup luar biasa.” Kemudian baginda terus menyambung ibadahnya kembali.
Rujukan:
Siri Kegemilangan Anbiya’; Kisah Nabi Yahya buku 3
[Nabi Yahya a.s. dan helah si Iblis; ms.9 hingga 20]
Siri Kegemilangan Anbiya’; Kisah Nabi Yahya buku 3
[Nabi Yahya a.s. dan helah si Iblis; ms.9 hingga 20]
No comments:
Post a Comment